Wednesday 24 July 2013

Salam Takziah Dari Jauh Dari Admin

Assalamualaikum buat teman-teman blogger..sebelum terlambat admin mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam diseluruh dunia,khusunya di Malaysia. Saban tahun tiap kali menjelangnya Aidilfitri, pasti banyak kisah-kisah sedih, sama ada disebabkan kemalangan, penyakit, dan sebagainya. Semalam admin kehilangan  tiga orang sahabat akibat nahas jalan raya yang membabitkan sebuah kereta kancil dan sebuah pacuan empat roda dilebuhraya Tanah Merah-Pasir Mas. Akibat kemalangan itu, tiga orang kawan admin pergi mengadap ilahi dan dua orang dirawat di unit rawatan rapi (icu). Ya Allah sungguh memilukan trajedi ini. Salah seorangnya meninggal di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dihospital keesokan harinya. mohon saudara blogger menyedekahkan Al-Fatihah untuk mereka yang dijemput mengadap tuhan, dan bagi dua orang lagi sahabat yang sedang dirawat, iringilah mereka dengan kalungan doa, walaupun tidak kenal antara satu sama lain, sedekahkan sebagai tanda takziah, sesungguhnya kita semua bersaudara, dan bagi yang bukan Islam, doakan kesihatan mereka, sebagai tanda prihatinnya rakyat malaysia khusunya sebagai manusia. Arwah Asif Ahmad, Arwah Azizul yusof, dan Arwah Hazrin Ahmad. Dua lagi adalah Sarji Zuki dan Fadhil Che Ya. Sarji dikhabarkan sudah stabil, manakala Fadhil masih lagi tidak sedarkan diri, selepas dibedah semalam. Dikhabarkan juga Arwah Asif dikebumikan ditanah perkuburan Islam Kampung Tok Uban, Arwah Azizul disemadikan ditanah perkuburan Islam Bujuk dan Hazrin 'disimpan' ditanah perkuburan Islam kg Kubang Batu. Salam takziah dari jauh admin kirimkan kepada keluarga mangsa. Buat Nur Amalina yusof, tabahkan hati menerima permergian adik tercinta azizul, buat Siti Farhah Che Ya dan abangnya Faiz sabarlah menerima dugaan ini, dan kepada Mohd Zarir Zuki, Isya-ALLAH Sarji akan kembali sihat. Sama-sama kita doakan kesihatan mereka berdua. Kepada Amin Ahmad abang kepada Arwah Asif, kuatkan hati. Isya- ALLAH mereka akan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.Amin!!. Sebelum terlambat juga admin nak kirimkan salam takziah kepada kelurga Bustaman Ali. Walaupun dalam youtube ramai kolompok masyarakat menghentam anda, tapi bagi saya anda seorang yang baik, saya kenal anda lebih dari orang-orang yang menghentam anda dalam youtube. Walaupun anda pergi dalam keadaan yang menyayatkan, namun masih ada kasih sayang Allah kepada anda. Isya-ALLAH..lalu admin teringatkan kata-kata arwah petang sabtu itu "anak-anak zaman sekarang, bila dah besar mak ayah sendiri pun nak hentam". dan tengahari ahad anda telahpun pergi. Rasa macam mimpi jumpa dengan anda..

*kalungkan Al-fatihah untuk kawan-kawan admin yang telah pergi mengadap Allah s.w.t
Mohd Asif Ahmad
Mohd Azizul Afizan yusof
Mohd Hazril Ahmad
Bustaman Ali
Mohd Hanan Abdul Rahman
Nur Syahida
Nurul Akma

Wednesday 19 June 2013

MOTIVASI DIRI

jika hidup yang dilalui penuh dengan permasalahan mengapa tidak dilalui dengan penuh kesabaran,jika hidup ini penuh dengan kebahagiaan mengapa tidak dilalui dengan penuh kesyukuran, hidup ini satu pengapdian diri kepada tuhan setiap yang berlaku pasti ada hikmah dan tujuan. anggap itu satu ujian dan dugaan. Allah tidak mungkin menghantar ujian jika kita tidak mampu menanganinya.kasih Allah s.w.t tidak setanding dengan kasih manusia. dan setiap yang berlaku adalah aturan dari Allah s.w.t. semoga hidup dilimpahi dengan rahmat dan kasih Allah..

Thursday 30 May 2013

BILA DEWA SERU NAMA MAHARAJA



Atur langkah dalam kegelapan
berselindung dibalik tabir hitam
tersembunyi wajah-wajah bayang
cermin muka retak penuh bintik hitam semalam,
di mana hak miranda
fikiran arah bawah sedar
mereka tidak kabar
atur langkah songsang
sisip tangan belakang
jalan terus hilang tujuan
lalu sesat dipersimpanggan
buah fikiran tergantung lalu hilang
ditelan dalil busuk jahil orang
terus sampai ke lubang hitam
acap kali timbul, acap kali juga tenggelam
tujuh puluh dua simpang gagal dikesan,
yang sampai satu ke pelabuhan.
maafkan mereka, mereka segan ilmu
mereka tidak kenal buku,
halusinasi belum ke destinasi
ilusi menjangkau fantasi
masuk ke mimpi ngeri
fikiran melayang, kisah semalam
bangkit menyerang dari belakang.

Tiga puluh jalan terbentang
beribu hanyut dibadai gelombang
cermin diri, guna mata hati
cari maksud yang tersembunyi
silang kata merungkai makna
mari,mari mencari makna hakiki
mari mengenal diri dan Ilahi
yang hidup pasti mati,
bukan berhalusinasi dengan mimpi
nanti segerombolan api kan menjelma
bakar diri,mana pergi
bila dewa seru nama maharaja
kembali,kembali pada realiti.

Wednesday 22 May 2013

HARGA SEGULUNG IJAZAH



“Hampir dua tahun menghabiskan masa dalam bilik kosong ini, lambat lagikah aku mesti di sini?” Tanya Kamal kepada dirinya sendiri. “cukup bosan tinggal di bilik tak cukup simen ni, aku nak bebas macam orang lain, aku tak nak ulangi lagi”. Sambung Kamal dalam benak hatinya sambil mengusap-gusap kepalanya yang tiada rambut dengan tangan kanan , seperti satu penyesalan yang timbul dalam dirinya. Tangannya masih tergantung di kepala, sambil siku disangkut di atas lutut.
“Apa yang kau lamunkan tu Kamal?” tanya Din, dengan muka tersenyum anak, seperti dia dapat mengagak apa yang sedang Kamal lamunkan.
“Tak ada apa lah”  tangan kanan yang tergantung di kepalanya tadi dijatuhkan, sambil mengesok-ngesok punggungnya mencari dinding untuk bersandar. Dia merapatkan kepalanya ke dinding sementara menarik nafas dalam-dalam lalu menghelanya perlahan-lahan sambil disaksikan Din yang sedang berlunjur kakinya di depan Kamal.
“Aku menyesal Din”, kata Kamal dengan nada suara sedih dan penuh penyesalan. Mukanya perlahan-lahan tunduk melihat lantai yang beralaskan tikar mengkuang yang sudah usang, matanya yang layu memandang tajam cebisan tikar yang terkoyak di hadapannya.
Din yang sedang berehat memalingkan mukanya mengadap Kamal yang telah separuh abad dimakan usia, “dulu masa kau buat kau tak fikir menyesal, bila dah meringkuk macam ni baru nak menyesal. Nasi dah jadi bubur Kamal”. Ujar  Din seperti ingin menghancurkan lagi hati Kamal yang telah berkecai, sambil membetulkan kedudukannya di atas katil yang diperbuat daripada simen.  
“Kita berdua senasib kamal” jelas Din yang masih membetulkan kedudukan, mungkin lenguh lama di atas katil yang tak ada span dan spring. Dia menarik kakinya yang berlunjur tadi, sambil dilipatnya bersila, sambil belakangnya disandarkan ke dinding batu.
“Aku ingat lagi masa dulu-dulu, masa aku baru keluar pusat latihan, dengan bangganya aku, memegang autoriti, segala kuasa ada pada aku, aku tak takutkan sesiapa, malah aku yang menakutkan orang. Orang semua hormat pada aku Kamal”.  Jelas Din seperti ingin membuka kisah silamnya sebelum meringkuk dalam bilik jeriji, Din mengemaskan silaannya, sambil memandang Kamal yang sedang bersandar pada dinding sebelah kiri bilik. Betul- betul mengadapnya. Din menyambung ceritanya yang disangkutkan tadi.
“Masa aku mula-mula dapat tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti, bangganya aku, pada masa itu aku bayangkan lepas keluar dari universiti mesti aku akan dapat kerja yang baik, dapat pegang pangkat tinggi, dapat arah orang. Malah aku boleh meneruskan cita-cita aku yang diidamkan selama ini. Kedua orang tua aku sangat gembira, bangga, dengan aku. Mana tak nya, aku merupakan anak tunggal yang dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading, adik-beradik aku yang lain hanya sampai SPM je. Malah, aku diletakkan harapan oleh mak ayah aku, harapan tempat keluarga bergantung”. Cerita Din lagi mengenai kisah hidupnya.
“Semasa di universiti aku belajar sungguh-sungguh, semua subjek aku skor A,  dapat keputusan (CGPA) tinggi, dapat pulak Anugerah Dekan. Masih aku ingat lagi masa tu tahun 2000. Aku dapat tawaran sambung pengajian pada tahun 1999, tamat pada tahun 2001. Tiga tahun aku di IPTA, bukan senang nak habiskan tiga tahun tu, bukan senang nak dapatkan segulung ijazah, menangis air mata darah pun belum tentu dapat, kalau tak ada usaha. Ramai kawan-kawan aku yang sangkut, tak sempat habiskan pelajaran. Gagal diberhentikan”. Jelas Din kepada kamal yang tekun mendengar kisah silamnya. Kamal masih lagi di dinding, sambil mengaru-garu lehernya, mata bulatnya meliar melihat tandas mini yang tersorok oleh tebing simen yang dibina paras lutut sebelah kiri hujung bilik, seperti bosan mendengar cerita Din sebentar tadi.
“Tapi sayang kan?, belajar tinggi-tinggi, di sini juga aku sampai, di sini aku tinggal”, jelas Din dengan suara seribu penyesalan, mukanya mendongak ke atas, dua anak matanya memerhatikan atap simen bilik itu, mulutnya yang mencebikkan sedikit seperti menahan kesedihan. Di dalam anak matanya tergambar penyesalan.
“Apa yang kau buat?”, soal Kamal.
Muka Din yang mendongak tadi turun sedikit, lalu memalingkan wajah sesalnya kepada Kamal yang sedang menanti jawapan.
“Aku terima “hadiah”, dah orang bagi aku ambil lah, lagi pun gaji aku tak besar sangat. Hidup di bandar besar macam ni kenalah ligat dan cepat”. Jawab Din singkat.
“Banyak ke?” soal Kamal lagi.
“RM 3000 sebulan, jaga rumah pelacuran” jawab Din, melarikan anak matanya daripada dipandang Kamal.

“Kau apa cerita?”, soal pendek Din. Mukanya kembali memandang Kamal sambil memperbetulkan kedudukannya menunggu jawapan dari kamal.
Kamal yang sedang bersandar di dinding tadi mula membetulkan uratnya, panjang mendengar kisah Din tadi mungkin. Lalu kaki yang berlunjur tadi perlahan-lahan ditarik, mengangkat punggungnya bingkas bangun. Dia mengatur tapak pergi ke jeriji pintu besi. Nafas di tarik sedalamnya, dada yang mengembang semakin mengecil, nafas dihembus perlahan-lahan. Sambil Din yang masih setia menanti jawapan daripada Kamal yang berat untuk menceritakan.
Telinga Kamal mula terdengar hukuman yang dijatuhi kepadanya. Masih terngiang-ngiang kata-kata pak hakim yang menjatuhkan hukuman kepadanya.
“Kamal bin Arifin, anda didapati bersalah menerima suapan bernilai RM10,000 daripada seorang kontraktor iaitu Chong Kin Yap, bertarikh 12 Januari 2002, untuk meluluskan tender pembersihan bandar  Seri Damai. Kesalahan dilakukan di tempat parking kereta Kondominium Sri Hijau, Batu Pahat, Johor, Bagi kesalahan ini, anda didakwa mengikut Seksyen 11(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM50,000”.
 Mahkamah menjatuhkan hukuman 3 tahun penjara.
Din masih menunggu penjelasan daripada Kamal. Matanya tajam memerhatikan gerak-geri Kamal yang tegap berdiri di pintu jeriji dengan tangan kanan dan kiri memegang batang jeriji yang kehitaman itu. Tangannya meraba-raba di celah kain batik lepas yang tergumpal di sisinya, seperti mencari sesuatu.
“Tak usah kau kenang benda yang lepas”, sindir Din kepada Kamal. Tangannya tadi yang meraba-raba mengeluarkan sekeping kertas kosong, sekecil telapak tangan.
Kamal yang berdiri tegap tadi memalingkan badannya mengadap Din yang sedang menggulung kertas yang dipegangnya tadi. Perlahan-lahan Kamal bergerak merapati Din yang sedang bersila di atas katilnya.
“Mana kau dapat ni?” soal Kamal baru melabuhkan punggung sebelah Din.
“Aku kirim tengah hari tadi” sahut Din, sambil mengeluarkan tembakau dalam poket seluar pendeknya.
“Dia pun sama macam kita”. Sambung Din lagi.
Din yang baru siap menggulung tembakaunya, melunjurkan kaki ke bawah lantai, turun dari katil berjalan menuju ke tandas mini.
“Sifat manusia tak pernah cukup dan bersyukur apa yang ada, nak jugak dicarinya lagi”. Cakap Kamal lagi.
“Kalau tak kena, tak kan rasa bersalah”. Balas Din.
“Dulu aku dah kira senanglah, jadi penolong pengarah majlis daerah Seri Damai. Gaji pun boleh tahan, tapi sebab aku tamak sangat semuanya melepas. Kerja dah kena gantung, tak tahulah apa yang dimakan oleh anak bini aku kat rumah”. Sambung Kamal lagi dengan muka yang agak sungul. Sambil terbayangkan tiga anak perempuan yang masih bersekolah.
“Ikut hati mati, ikut rasa binasa”, kata Din yang sedang duduk bertenggek dalam tandas mini, asap berkepul-kepul di ruang udara dalam bilik mereka.
“Teringat masa zaman dekat universiti dulu, sama lah macam kau, belajar tak kira masa, tak ada masa nak main macam orang lain. Masuk universiti dengan harapan dapat kerja yang berpangkat, sekurang-kurangnya jadi cikgu. Aku ni merupakan “best student” masa kat Fakulti Kejuruteraan dulu. Aku bergradut dengan memegang ijazah kelas pertama. Masa konvokesyen bangganya aku dapat duduk di barisan depan, bangganya mak ayah aku, penat lelah mereka bekerja menanggung aku masa pengajian terbalas dengan aku memegang ijazah kelas pertama. Betul kata kau, bukan senang nak pegang segulung ijazah ni, kena ada pengorbanan sama ada masa, tenaga, dan wang ringgit”. Kata Kamal kepada Din yang baru sahaja selesai menyambung nyawanya.
“Hmmm.. tau takpa”. Sambung Din yang sedang berjalan mendekati Kamal di atas katil kerasnya.
Kamal beralih sedikit, memberi laluan kepada Din duduk di sebelahnya.
“Orang tua kau dulu orang berada ke?”  tanya Din yang baru melabuhkan punggung di sebelah Kamal. Tangannya di angkat dan disangkutkan di atas bahu Kamal tanda perhubungan yang baru sahaja terjalin yang sangat erat.
Soalan yang ditanya oleh Din seolah-olah menyentuh perasaan Kamal yang terduduk ketika itu. Seolah-olah Kamal melakukan sesuatu yang salah terhadap kedua orang tuanya. Terpampang wajah sedih Kamal apabila soalan itu diajukan.
“Tak lah, orang tua aku orang kampung biasa je, kerja pun petani”. Jawab Kamal tanpa segan memberitahu usulnya.
“Sekarang mereka dah tak ada, meninggal selepas aku dapat kerja dua tahun. Ayah aku dulu yang meninggal, dua bulan kemudian, ibu aku pula. Tak sempat aku nak melihat arwah ibu aku kali yang terakhir, pada masa itu aku ‘out station’ , kena bertugas di Perlis. Aku sampai di kampung, arwah telah pun dikebumikan”. Jelas Kamal dengan perasaan sebak.
“Sekurang-kurangnya aku dapat membalas budi orang tua aku walaupun bukan sepenuhnya”. Sambung Kamal lagi.
 Wajah ibu dan ayahnya tiba-tiba terpapar pada matanya yang layu. Terbayang seribu garis pada wajah arwah. Wujud kerinduan yang amat jelas terhadap kedua orang tuanya itu.
“Aku rindukan anak isteri aku Din” jelas Kamal dalam keadaan sebak, menunduk ke bawah. Seolah-olah dapat merasakan kerinduan isteri dan anak-anak kepadanya.
“Aku menyesal apa yang telah aku buat, aku kianati harapan kedua orang tua aku, aku kianati anak dan isteri aku, aku kianati negara aku. Aku malu berdepan dengan masyarakat”. Jelas Kamal lagi sambil menitiskan air mata seribu sesalan yang terpampang pada wajah lelaki yang telah menjangkau usia  50-an itu.
“Aku juga sama Mal, aku bersekongkol dengan manusia-manusia yang menjual bangsa aku, aku seperti menjual anak gadis bangsa aku sendiri”.
“Aku pentingkan diri, aku bangga dengan autoriti yang aku ada, aku salah guna kuasa yang aku pikul selama ini”. Sambung Din lagi.
“Belajar pandai sampai berjaya, dapat pegang pangkat tinggi, kita lupa semakin tinggi kuasa yang kita pegang, semakin banyak dugaan yang perlu kita hadapi, kalau kita belum bersedia untuk menempuhinya, kita akan tewas pada kuasa yang ada”. Jelas Kamal yang berada di sisi Din sungul kesedihan.










Thursday 25 April 2013

NOSTALGIA BERGELAR SISWAZAH


                                                                                              

memang mudah untuk bercakap nostalgia memperdayakan pemikiran individu. Anda sendiri yang melakukannya, anda ingat semua itu, tidak sama seperti  dahulu, tetapi ianya hanya satu nostalgia.                 
                                                                                                                                                                

 Ada teratak dihujung kampung, bawah cermin kopak ada kotak, tersembunyi dalamnya ada  tempurung, sembunyi bawahnya katak melalak.


 Apabila kita asyik termenung memikirkan nasib diri di sini, merenung jauh mereka di sana hidup penuh keseronokan dan kegembiraan, namun kita masih tidak sedar tentang hakikat kebahagiaan yang sebenar.











Thursday 18 April 2013

HAKIKAT ILMU



Sebenarnya manusia kini telah melanggar hakikat penciptaan, manusia kini lupa dengan ikatan perjanjian. Manusia kini telah memesongkan yang benar menjadi palsu, mereka mengangkat kepalsuan mengatakan itulah kebenaran. Dan itulah yang telah aku belajar sekarang.. Alhamdulillah aku masih diberi kesempatan mengenal antara yang salah dan yang betul, kini aku boleh membezakan yang mana benar dan yang palsu. Ilmu yang benar adalah ilmu yang dapat membawa manusia ke arah kebaikan. Dengan ilmu yang benar manusia dapat membezakan antara baik dan buruk dan dengan ilmu yang benar itu manusia dapat meninggalkan apa yang dilarang dan laksanakan apa yang disuruh. Ilmu terbahagi kepada dua iaitu ilmu bersumberkan wahyu dan ilmu yang bukan bersumberkan wahyu. Ilmu bersumberkan wahyu adalah Al-Quran,  Hadis, aladduni(wali) dan hikmah. Manakala ilmu yang bukan bersumberkan wahyu adalah melalui pengalaman dan akal manusia. Ilmu bersumberkan wahyu, Allah menjelaskan dalam Al-Quran kerana manusia tidak dapat dengan sendirinya, perlu diberitahu. Contohnya sifat-sifat Allah manakala ilmu bukan bersumberkan wahyu seperti kajian saintis dan lain-lain yang menggunakan akal dan pengalaman.
Kita telah sempitkan pemahaman ibadah, manusia sekarang salah anggap terhadap agamanya sendiri. Tugas manusia ada dua, yang pertama adalah hamba dan yang kedua adalah khalifah di muka bumi. Kita tidak boleh pisahkan antara dua tugas tersebut. Tidak akan baik seseorang itu jika meninggalkan salah satunya.  Untuk menjadi hamba yang baik kita mesti lah lakukan apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang dan mentadbir muka bumi dengan penuh kebijaksanaan.  Manusia dikurniakan akal, oleh itu manusia adalah makhluk mulia. Namun manusia juga dikurniakan sifat lupa, hawa nafsu dan yang paling besar adalah manusia mempunyai musuh iaitu syaitan. dengan ilmu yang benar manusia dapat melepaskan diri daripada semua itu. Ilmu adalah cahaya/ titisan makna/ hidayah/ kebenaran yang benar dalam sanubari manusia. Untuk mentadbir alam dengan teratur manusia perlukan kebijaksanaan, dan kebijaksanaan tidak ada tercapai jika manusia mengamalkan ilmu yang salah, yang timbul hanyalah pertelagahan, perpecahan. Dan yang paling penting ilmu yang benar akan membawa kita  kenal pencipta kita. Hanya orang berakal sahaja dapat memahami ilmu. Akal merupakan satu alat yang memerlukan ilmu untuknya berfungsi, fungsi akal adalah menimbang baik buruk sesuatu perkara.

Tuesday 16 April 2013

BILA CINTA DIDUSTA (CINTA DAN DICINTAI)




Kata orang tanpa cinta manusia tidak akan bahagia hidup bersama..tapi bagaimana pula jika cinta yang kita berikan tidak dihargai, malah ditolak ke tepi, perlukan kita bersedih dengan penolakan cinta kita itu?? Perlukan kita meratapi dan menangis jika orang yang kita sayang pergi tinggalkan kita kerana orang ketiga??

Sahabat A : APA YANG AWAK FIKIRKAN?


Sahabat B: TAK ADA APA PUN, SAJA RENUNG TERINGATKAN SESEORANG.


Sahabat A: INGATKAN SIAPA?


Sahabat B: INGATKAN ORANG YANG SAYA SAYANG PERGI TINGGALKAN SAYA KERANA PILIHANNYA.


Sahabat A: BIARKAN DIA DENGAN PILIHANNYA


Sahabat B: YA..SAYA HANYA DOAKAN KEBAHAGIAANNYA , TIDAK PERNAH TERDETIK DIHATI UNTUK MENYAKITINYA. KALAU BETUL CINTA DAN SAYANGKAN SESEORANG, BIARKAN DIA DENGAN PILIHANYA. KITA DOAKAN KEBAHAGIAANYA BERSAMA PILIHAN HATINYA.


Sahabat A: KENAPA SAYA TENGOK AWAK TAK SEDIH PUN ATAS KEHILANGAN ORANG YANG AWAK SAYANG, KENAPA YA??


Sahabat B: PERLUKAH SAYA BERSEDIH ATAS KEHILANGAN ORANG YANG TIDAK SAYANG DAN CINTAKAN SAYA?? PERLUKAH SAYA BERDUKA DAN MERASA RUGI ATAS KEHILANGAN ITU? SEBALIKNYA DIA TERSANGAT RUGI KERANA KEHILANGAN ORANG YANG SAYANGKAN DIA.


Tepuk dada tanya selera….kadang-kadang kita buat sesuatu penilaian tanpa memikirkan baik buruk sesuatu kejadian, kita hanya fikirkan kerugian yang sebenarnya satu anugerah di sebalik kejadian.

#Kita tidak akan rasa manisnya iman, jika tidak menelan pahitnya ujian# kalau kamu kumpulkan semua kekayaan di atas dunia ini, hanya kerana ingin membeli hati, nescaya kamu tidak akan mampu, kerana ia milik Allah s.w.t, soal jodoh pertemuan, ajal maut di tangan tuhan, itu adalah pasti. Allah telah tetapkan jodoh yang terbaik untuk kita, baik untuk kelangsungan hidup berumah tangga, berkeluarga, mahupun beribadah kepada-Nya. Terimalah dengan tangan terbuka, mungkin itu bukan pilihan yang selalu kita idam-idamkan, yang selalu kita impi-impikan, namun percayalah, Allah berikan yang terbaik untuk hambanya.

perjalanan dalam kehidupan tidak akan terhenti!